CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, May 11, 2009

Pesan buat Wanita : "kerana dirimu begitu berharga"

Bismillahirrahmanirrahim..salam alaik..

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t semata-mata.Selawat dan salam ke atas junjugan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang telah bersusah payah menyebarkan bunga-bunga Islam ke seluruh alam maya.Tanpa dakwah Nabi dan para sahabat mana mungkin hari ini kita dapat mengecapi nikmat Islam dan Iman.Terima kasih wahai kekasihku...Rasulullah..


Nilai Tudung wanita...

Di dalam Islam,wanita dituntut supaya menutup aurat tidak kira di mana sahaja berada kerana ia lambang kekuatan iman seseorang tetapi semakin diabaikan oleh masyarakat kita ada hari ini.Allah mengingatkan kita supaya tidak menjadi seperti masyarakat jahiliyyah pada zaman dahulu yang tidak mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


" Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tidak memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain dari yang nyata (mesti terbuka dari bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari,seperti muka dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan tudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya)........"

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram,bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya,malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup aurat.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta seperti intan dan berlian,ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula didalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan syarak.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita,alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya,sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita perhatikan di sana sini wanita memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar sekolah mahupun pekerja pejabat.

Walaupun pelbagai tudung diperaga dan dipakai,namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher,dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya,malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan dan tidak berhias-hias secara berlebihan yang mana akan menjadi daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wania dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.


kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim.

Kesimpulannya,tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina,banyak berdosa kepada Tuhan mahupun manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan kecil yang mampu kita laksanakan.

Orang-orang bukan Islam akan tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum hakam Islam. Walaupun bertudung,perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung sebagai medium dakwah. Selama ini kita tidak sedar kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya sebagai pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain, tetapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki zahir dan batin dari masa ke masa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan kepada orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik maka tidak boleh memakai tudung. Aurat wajib ditutup tetapi dalam masa yang sama perbaikilah kesilapan diri dari semasa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Apabila sudah menutup aurat,cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah lembut. Buang sikap suka mengeji dan mengata orang. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita Muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan merasa hormat dan mengakui "Islam is really beautiful". Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu,wahai wanita-wanita Islam sekalian,ayuh! anda mesti mengorak langkah sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Wassalam...